Assalamualaikum dan salam semesta alam.
Selawat dan salam kepada junjungan Baginda Rasulullah S.A.W. serta sahabat-sahabat Baginda. Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah S.W.T. kerana masih lagi diberi nikmat yang tidak terhingga banyaknya. Walau pun kita sering diuji, yakinlah bahawa Allah Taala mahu kita lebih matang dan lebih ingat kepadaNya.
Pertama sekali, saya ucapkan terima kasih kepada tuan dan cik puan kerana masih lagi melayari I-Hijrah Shoppe, peneraju hab halal Malaysia. Saya yakin dan percaya, tuan dan cik puan masih lagi menyokong kuat produk-produk keluaran bumiputera muslim baik di dalam Malaysia atau luar negara.
Topik kita pada hari ini berkait rapat dengan aspek kehidupan kita atas dunia ini. Dunia ini hanya sementara. Ya, dunia ini nyata, tetapi sebenarnya ianya adalah satu ujian untuk makhluk-makhluk ciptaan Allah. Jangan kata pula kita berada di alam khayalan. Ianya nyata. Tetapi adalah satu bentuk ujian. Kalau kita lulus ujian besar iaitu kehidupan kita, maka kita akan mendapat ganjaran yang sebenar-benar ganjaran, Jannah yang kita impi-impikan.
Apabila kita sedar bahawa dunia ini ialah satu pentas ujian, maka kehidupan kita ini semuanya berkait dengan ketuhanan. Semuanya berkait dengan Allah 'Azzawajalla. Allah yang mematikan kita sementara iaitu tidur. Allah jua yang hidupkan kita kembali iaitu jaga. Allah jua yang memberi kita rezeki setiap hari kepada kita. Allah memberikan kita kesihatan yang baik untuk kita keluar mencari rezeki. Jangan kita sombong dan takbur apabila kita berkata, tulang empat kerat kitalah yang menyebabkan kita memperolehi rezeki. Jangan sekali-kali. Benar, kita dapat berusaha untuk mencari rezeki. Tapi kalau Allah tidak izinkan, maka kita tidak akan dapat rezeki itu.
Contohnya seorang nelayan yang pagi-pagi lagi sebelum matahari naik sudah berada di tengah laut untuk memukat ikan. Memang nelayan telah berusaha keras dengan bangun di awal pagi. Menggerakkan tulang empat kerat ke pantai dan seterusnya menyediakan bot atau sampan, untuk menangkap ikan di laut. Dengan skill yang dia ada, dia melemparkan atau menurunkan jalanya di tempat-tempat yang dia tahu merupakan lubuk ikan.
Jika Allah izinkan dia memperolehi tangkapan ikan pada hari itu, maka nelayan tersebut akan memperolehi rezeki. Tapi andainya Allah tidak kurniakan rezeki, maka tiadalah rezeki pada hari itu. Pada masa itu, masalah akan dinampak sebagai penyebabnya. Bot bocor, enjin rosak, jala koyak, atau nelayan itu sendiri sakit dan pelbagai masalah lagi yang kita akan jadikan penyebab kepada rezeki tidak dapat dikaut pada hari tersebut. Pada hal, kita kadang-kadang lupa aspek ketuhanan. Allah belum beri rezeki pada hari itu.
Itu baru bab rezeki. Rezeki yang kita makan setiap hari. Belum persoalan kehiduan seperti sakit dan sebagainya. Jadi, saya berharap, cepat-cepat kita sedar bahawa kehidupan kita ini berkait rapat dengan kepercayaan kita terhadap adanya Allah S.W.T. Di mana saja, di waktu mana saja. Jadi, setiap tindak-tanduk kita, janganlah mengundang murka Allah. Buatlah yang Allah suruh, jangan buat yang Allah larang.
Sekian, wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.